Thursday, 1 December 2016

INDUSTRI PELANCONGAN DI MALAYSIA

NAMA: NUR `AINSYAZLIN BT SHAHRUL NIZAM (242091)


PENGENALAN
Industri pelancongan bukanlah sesuatu yang baru pada hari ini, namun sejak dahulu lagi sektor pelancongan ini telah menjadi nadi penggerak ekonomi kepada Malaysia. Dalam era globalisasi kini, semua negara berlumba-lumba untuk meningkatkan sektor pelancongan di dalam negara mereka untuk pertukaran wang asing. Oleh itu, Malaysia juga tidak terkecuali dalam sektor pelancongan bahkan sektor ini semakin maju dan berkembang hari demi hari. Namun begitu, tidak semua antara kita yang memahami apakah yang dimaksudkan dengan industri pelancongan?

Jabatan Pelancongan mula ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Malaysia pada tahun 1959. Penglibatan sektor pelancongan dalam Rancangan Malaysia Ke-2 1971-1975 telah menekankan peri pentingnya peranan yang dimainkan industri pelancongan dalam ekonomi Negara.Pada tahun 1980an, kerajaan telah menunjukkan sokongan kepada sektor pelancongan dengan penubuhan Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan pada tahun 1987.Pada 20 Mei 1992, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan telah diberi nama baru iaitu Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan atau lebih dikenali sebagai MoCAT.Pada bulan April 2004, MoCAT telah dipecahkan untuk menghasilkan Kementerian khas untuk menguruskan semua hal berkaitan pelancongan iaitu Kementerian Pelancongan Malaysia atau MoTour. Perkembangan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam mempromosikan sektor pelancongan sebagai salah satu penyumbang utama kepada pendapatan Negara.Pada 15 Mei 2013, MoTour telah dinamakan semula sebagai Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (MOTAC) selepas Pilihanraya Umum ke-13. Ini adalah bagi mengiktiraf peranan serta hubungan rapat sektor pelancongan dan sektor kebudayaan dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan dunia, yang selari dengan slogan "Malaysia, Truly Asia".

Definisi perindustrian ialah penghasilan sesuatu barang atau perkhidmatan dan merupakan aktiviti ekonomi yang  memproses bahan mentah menjadi barang yang siap atau menyediakan perkhidmatan. Selain itu, sektor perindustrian dianggap sebagai nadi penggerak utama pembangunan dalam setiap negara yang membangun, terutama dari segi daya pengeluaran dan daya keupayaan penyerapan tenaga buruh dalam negara. Pelancongan pula didefinisikan sebagai satu kegiatan multidimensi dan pelbagai yang menyentuh dalam aspek kehidupan dan juga aktiviti ekonomi. Pelancongan tidak semestinya bertujuan untuk keseronokan atau berhibur malah  ia juga merangkumi pelancongan perniagaan, pelancongan kesihatan, pelancongan sukan dan lain-lain. Secara ringkas, pelancongan adalah gerakan sementara untuk manusia ke destinasi lain di luar tempat kerja dan tempat tinggalnya yang  biasa, kegiatan yang mereka lakukan selama tinggal di destinasi tersebut dan segala kemudahan yang melengkapi sepanjang destinasi mereka tersebut. Menurut Oxford English Dictionary, pelancongan adalah orang yang membuat lawatan atau kunjungan pada masa kelapangan (Honey, 1999). Di Malaysia, industri pelancongan mula bertapak pada akhir tahun 1960. Pada masa itu, industri pelancongan tidak penting ketika itu kerana sumbangan komoditi getah dan bijih timah jauh lagi penting. Pada tahun 1970, kerajaan Malaysia telah membangunkan sektor pelancongan bagi memenuhi objektif-objektif berikut seperti peningkatan pendapatan dalam pertukaran wang asing, meningkatkan peluang pekerjaan, mempelbagaikan ekonomi dan menggalakkan pembangunan kawasan setempat.

Kini, pada peringkat global negara Malaysia diiktiraf sebagai destinasi pelancongan utama. Industri pelancongan juga merupakan penyumbang yang penting kepada ekonomi negara.


TAHAP PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN
Industri pelancongan merupakan di antara industri yang paling menguntungkan sejak beberapa dekad lalu. Ini kerana, industri pelancongan ini mampu menjana ratusan industri lain yang lain sama secara langsung atau tidak langsung. Dengan adanya industri pelancongan, wujudnya industri perhotelan, industri pemakanan, industri pembuatan, industri pengangkutan, industri pembinaan dan pelbagai industri lain yang akan terlibat. Dengan kemajuan industri pelancongan boleh menambahkan kemasukan pelancong asing ke negara kita. Berdasarkan purata dari tahun 2000, seramai 10.2 juta orang pelancong (termasuk pelancong domestik) telah berkunjung ke Malaysia yang menghasilkan pendapatan sebanyak RM20 billion, termasuk RM17 billion daripada pertukaran asing (Berita Harian, 9 Jun 2001). Angka tersebut dijangka akan meningkat dari semasa ke semasa dan Malaysia juga merupakan negara ketiga paling ramai menerima pelancong di Asia Timur selepas China dan Hong Kong. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dan Tourism Malaysia, jumlah kedatangan pelancong asing telah meningkat kepada 25.7 juta orang dengan pendapatan sebanyak RM69.1 billion pada tahun 2015. Berdasarkan World Tourism Organization (UNWTO) negara Malaysia berada did kedudukan yang keempat di antara sepuluh negara yang paling ramai pelancong dilawati pada tahun 2015 di Asia dan Pasifik. Negara Malaysia mencatat sebanyak 25.7 juta orang pelancong manakala China berada di kedudukan pertama yang mencatat sebanyak 59.9 juta orang pelancong dan diikuti oleh Thailand dan Hong Kong yang berda di kedudukan kedua dan ketiga.

Semasa membentangkan bajet tahun 2016, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak telah menyatakan bahawa kerajaan telah mensasarkan 30.5juta orang pelancong yang dijangka akan menyumbang sebanyak 103 billion ringgit kepada ekonomi negara. Sebanyak 1.2 billion ringgit pula telah diperuntukkan kepada Kementerian Pelancongan untuk tujuan ini. Antara fokus utama kerajaan adalah untuk mengembangkan sektor pelancongan negara. Malaysia merupakan negara yang terkenal dalam sektor eko-pelancongan di mana kita mempunyai pantai terindah di dunia, serta hutan hujan tropika yang kaya dengan spesis tumbuh-tumbuhan dan haiwan yang unik dan menarik. Selain itu, kerajaan juga sedang melancarkan promosi pakej percutian ke Malaysia dengan lebih giat di luar negara dengan ini boleh menarik minat para pelancong asing untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi untuk melancong untuk mereka.

Perkembangan industri pelancongan untuk menjana ekonomi negara akan dapat dicapai jika usaha-usaha memajukan dan membangunkan industri ini sepatutnya diberi penekanan yang lebih menumpukan kepada isu-isu yang berkaitan seperti alam sekitar, kebersihan persekitaran, pelancongan eko, visa, kemudahan lapangan terbang dan keselamatan pelancong. Industri pelancongan ini telah berkembang sejak tahun 1970an lagi, Pada tahun 1972, Perbadanan Pelancongan Malaysia telah ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun yang telah dipertanggungjawabkan untuk memajukan sektor pelancongan dan rekreasi di negara ini. Akan tetapi, pada masa itu, industri pelancongan di negara kita masih lagi belum maju. Walau bagaimanapun, selepas kejayaan Tahun Melawat Malaysia 1990, sumbangan sektor ini kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terus meningkat dengan baik.  

 
KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN INDUSTRI PELANCONGAN TERHADAP PEMBANGUNAN EKONOMI NEGARA
Industri pelancongan merupakan salah satu sumber pendapatan ekonomi negara kita. Terdapat beberapa kepentingan dan sumbangan industri pelancongan terhadap ekonomi negara salah satu daripadanya adalah pengaliran mata wang asing. Sebagai contoh, apabila pelancong asing yang datang dari luar negara, mereka akan menukar wang ringgit Malaysia untuk berbelanja di negara kita. Pertukaran wang ini dapat dilakukan di bank tempatan atau pusat pertukaran wang asing. Oleh itu, mata wang asing ini akan dapat digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengimport barang dari luar negara. Dengan berlakunya pengaliran wang asing dapat mendatangkan keuntungan entiti perniagaan serta dapat digunakan untuk membeli barangan keperluan asas untuk rakyat tempatan dari luar negara.

Selain itu, industri pelancongan juga dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih luas dalam sektor tersebut. Pelancongan merupakan industri yang memerlukan tenaga pekerja yang ramai sebagai contoh di bidang perhotelan. Dengan berkembangkan indutri pelancongan ini dapat mewujudkan permintaan yang tinggi terhadap tenaga kerja yang terlatih dan berpengalaman  dalam industri ini pada peringkat pengurusan dan penyeliaan tenaga kerja. Oleh itu, hal ini secara tidak langsung akan mengurangkan masalah pengganguran di negara kita.

Dari segi aspek perhubungan dan pengangkutan pula, Malaysia mempunyai beberapa syarikat penerbangan tambang murah yang juga membantu mempromosikan pelancongan negara. Contohnya Air Asia, Firefly dan MAS yang menawarkan perkhidmatan tambang murah yang memberikan keupayaan kepada rakyat tempatan untuk melancong ke destinasi pilihan mereka.

Industri pelancongan telah terbukti mendatangkan banyak sumbangan terhadap pembangunan negara. Oleh itu, semua pihak hendaklah bekerjasama untuk merealisasikan impian negara kita akan menjadi destinasi pelancongan utama di dunia.

 

HALANGAN ATAU CABARAN YANG DIHADAPI DALAM INDUSTRI PELANCONGAN

Antara cabaran yang dihadapi industri pelancongan adalah persaingan dengan negara luar. Setiap negara mempunyai keistimewaan yang berbeza-beza dari segi keunikan negara itu sendiri, keindahan alam semulajadi seperti pantai dan pusat membeli-belah. Selain itu, tahap kreativiti setiap negara juga berbeza-beza untuk mempromosikan negara mereka untuk menarik minat para pelancong asing.

Selain itu, ketidakstabilan politik sesuatu negara juga boleh menjadi salah satu halangan kepada pelancong luar. Ini kerana kestabilan politik sesebuah negara amat penting dan memainkan  peranan kerana ianya akan mempengaruhi dari segi pelaburan, perusahaan dan pelancongan. Sebagai contoh, peperangan atau rusuhan boleh menyebabkan kurangnya pelancong asing kerana mereka akan merasakan keselamatan diri mereka akan terancam dan tidak selamat untuk pergi ke negara yang mempunyai masalah berikut. Oleh itu, pembangunan negara akan menjadi perlahan kerana terganggu. Oleh itu, kestabilan politik sangat penting bagi sesebuah negara agar tidak menjejaskan imej negara.

Antara cabaran lain adalah persekitaran alam sekitar. Alam sekitar merupakan elemen yang sangat penting dalam industri pelancongan kerana kebanyakan para pelancong datang ke Malaysia kerana keindahan alam semulajadinya. Oleh itu, jika persekitaran alam sekitar ini tidak terjaga dan tercemar ianya akan mencacatkan keindahan tersebut sekaligus boleh menjatuhkan imej negara kita. Oleh hal demikian, semua pihak hendaklah bertanggung-jawab dalam  menjaga serta memelihara alam sekitar dengan baik agar tidak berlakunya pencemaran.

 
SISTEM SOKONGAN OLEH PIHAK KERAJAAN DAN SWASTA YANG DITAWARKAN UNTUK PEMBANGUNAN INDUSTRI PELANCONGAN

KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA
Antara fungsi Kementerian Pelancongan Dan Kebudayaan Malaysia ialah menggubal dasar pelancongan negara bagi mencapai visi, misi, dan objektif kementerian selain melaksanakan dasar-dasar berkaitan dengan perkembangan dan pembangunan industri pelancongan. Antara usaha yang dijalankan adalah :-

·         Program Pelancongan

1.    Sukarelawan Pelancongan (Voluntourism) –menggalakkan sukarelawan untuk terlibat degan aktiviti perlancongan.

2.    Pelancongan pelajar –memupuk budaya melancong di kalangan para pelajar ke tempat-tempat bersejarah, eko-pelancongan dan lain-lain.

3.    Pelancongan pendidikan –untuk menarik lebih ramai pelajar asing untuk menyambung pengajian di Malaysia.

4.    Agro-Pelancongan –menawarkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan di kalangan para pelancong.

5.    Pelancongan sukan –penyediaan kemudahan dan infrastruktur sukan yang lengkap dan serba canggih sebagai penganjur sukan.

 
     ·         Kursus Pelancongan

1.    We Are The Host (WATH)

2.    Eco-Host Malaysia

3.    Bot Pelancong

4.    Think Tourism

5.    Program Latihan Terapi Spa (PLTS)

 

·         Tabung & Insentif

1.    Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan

2.    Galakan Cukai

3.    Skim Bantuan Kebudayaan

4.    Skim Bimbingan Seni

5.    Sumbangan & Tajaan Seni


TEKUN NASIONAL
TEKUN Nasional yang dahulunya di kenali sebagai Yayasan TEKUN Nasional adalah merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang diwujudkan pada 9 November 1998. Matlamat penubuhan TEKUN Nasional adalah untuk menyediakan kemudahan pembiayaan secara mudah dan cepat kepada bumiputera untuk memula dan memajukan lagi perniagaan mereka. Kini TEKUN Nasional dibawah Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani.Mulai tahun 2008, TEKUN Nasional telah membuat perubahan dan pembaharuan selaras dengan keperluan semasa dengan menjadikan institusi ini sebagai sebuah institusi pembangunan usahawan yang strategik dan tidak hanya menyediakan kemudahan modal perniagaan semata-mata. Kini TEKUN Nasional menjadi sebuah institusi yang menyediakan peluang-peluang perniagaan serta peluang-peluang menjana pendapatan, pembiayaan modal perniagaan, khidmat bimbingan dan sokongan serta Jaringan Usahawan. Adalah diharapkan dengan Hala Tuju Baru dan Penjenamaan semula ini, TEKUN Nasional akan menjadi sebuah institusi pelaksana ( executing agency ) yang dinamik serta mampu memainkan peranannya dengan lebih berkesan bagi memenuhi matlamat penubuhannya selaras dengan hasrat kerajaan untuk membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera ( MPPB ). Dengan kejayaan MPPB ini hasrat kita untuk mengangkat martabat bangsa Melayu dan Bumiputera dalam bidang ekonomi akan tercapai.

 
SYARIKAT PENERBANGAN AIR ASIA

Selain daripada pihak kerajaan yang merangka usaha-usaha untuk perkembangan industri pelancongan, sektor swasta juga turut terlibat untuk mencapai matlamat tersebut. Antara usaha sektor swasta ialah melalui syarikat penerbangan Air Asia yang terkenal dengan menyediakan pakej tambang murah kepada para pelancong yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan udara iaitu kapal terbang. Dengan ini dapat membantu kerajaan mempromosikan negara dengan meletakkan imej-imej menarik yang terdapat di Malaysia pada badan kapal terbang untuk menarik minat para pelancong untuk lebih mengenali Malaysia.Tambahan pula, baru-baru ini Air Asia diiktiraf sebagai “Syarikat Penerbangan Terbaik” dan telah menerima “Anugerah Khas Menteri” di Anugerah Pelancongan Sabah 2015. Kategori ‘Syarikat Penerbangan Terbaik’ mengiktiraf syarikat penerbangan yang menyumbang terhadap industri pelancongan Sabah dari segi jaringan perhubungan dan membawa jumlah pelancong tertinggi ke Sabah sepanjang jumlah dua tahun lepas. (Astro Awani-23 Nov 2015)

 

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENDORONG DAN MEMBANGUNKAN INDUSTRI PELANCONGAN

Pelbagai langkah-langkah yang dilakukan untuk membangunkan industri pelancongan. Antara langkah pertama yang perlu dilakukan adalah memperlengkapkan kemudahan dan prasarana pengangkutan. Kerajaan perlu menyediakan kelengkapan kemudahan dan  prasarana dan perhubungan di negara kita sehingga menjadi kelas pertama terutamanya di destinasi yang menjadi tumpuan pelancong. Apabila mempunyai kemudahan yang lengkap, maka keselesaan pelancong akan terjamin. Setiap negara yang mempunyai kemudahan yang lengkap akan menarik minat pelancong untuk menikmati keindahan negara kita.

Seterusnya, langkah yang kedua adalah menyediakan kemudahan penginapan yang selesa.Sektor perhotelan hendaklah memandang serius dalam menyediakan perkhidmatan mereka seperti kemudahan hotel dan chalet, bekalan elektrik dan lain-lain. Kemudahan yang disediakan amat penting kerana ini bergantung kepada pelancong itu untuk tinggal lebih lama atau sebaliknya. Hal ini jika pelancong selesa dengan perkhidmatan yang diberikan, pelancong akan memilih untuk tinggal lebih lama sekaligus membolehkan negara memperoleh lebih banyak wang asing.

Selain itu, langkah-langkah keselamatan juga perlu diambil kira bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan pelancong semasa berada di negara kita. Ini bagi memastikan tiada masyarakat yang mengambil kesempatan atas para pelancong asing ini. Oleh itu, pihak kerajaan perlu menubuhkan Unit Keselamatan Pelancong untuk membantu pihak polis menangani jenayah ke atas pelancong.

Di samping itu, rakyat Malaysia dan kerajaan hendaklah bergabung tenaga untuk mengadakan kempen promosi pelancongan di dalam negara dan luar negara. Sebagai contoh, Cuti-Cuti Malaysia dan Tahun Melawat Malaysia telah dijalankan setiap tahun bagi mempromosikan Malaysia. Oleh itu, semua rakyat Malaysia memainkan peranan penting untuk memajukan industri pelancongan.

  

KESIMPULAN

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa pelancongan mampu menjana pendapatan kepada sesebuah negara melalui tukaran wang asing. Kesimpulannya, industri pelancongan merupakan suatu industri yang berpotensi dan begitu menguntungkan kepada negara. Selain daripada phak swasta dan kerajaan, rakyat Malaysia juga perlu bekerjasama untuk menyumbang kepada negara agar matlamat untuk menjadikan negara Malaysia destinasi pilihan pertama di dunia akan tercapai. Akhir sekali, jika semua usaha dapat dilaksanakan dengan baik, maka pembangunan industri pelancongan akan lebih berkembang maju selaras dengan Wawasan 2020 Malaysia.

 

RUJUKAN
1.Buku

Archer, B. & Cooper, C. 1995. The positive and negative impacts of tourism. Dlm. W.F. Theobald (ed.). Global tourism: the next decade. Oxford: Butterworth-Heinemann Ltd. Hlm. 73-91.

Butler, R.W. 1980. The concept of a tourist area cycle of evolution: Implication for management of resources. Canadian Geographer, 24: 5-12

2.Internet

Diakses pada 23 November 2016, https://ms.wikipedia.org/wiki/AirAsia

Diakses pada 23 November 2016,  https://en.wikipedia.org/wiki/World_Tourism_rankings


No comments:

Post a Comment