Pengenalan
Pada peringkat awalnya,
pertanian di negara kita hanya berfungsi untuk memenuhi keperluan asas rakyat
tempatan. Kini, fungsi pertanian ternyata telah berubah. Pertanian dilihat
sebagai perniagaan yang memberi prospek besar kepada seluruh masyarakat
Malaysia, membantu merapatkan jurang sosial ekonomi dalam masyarakat dan turut
menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara.
Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) Kerajaan
telah menguar-uarkan tentang aspek memperkasakan pertanian baru. Ia bukan
sahaja merangkumi aspek pertanian komersial dan bioteknologi, malah turut
menekankan aspek pertanian sebagai satu perniagaan.
Transformasi ini memerlukan
pembudayaan keusahawanan dalam pertanian supaya dapat melahirkan satu generasi
usahawan bagi menerajui usaha merevolusikan bidang pengeluaran makanan dalam
sektor pertanian. Kerajaan sentiasa berusaha mencari inisiatif baru dalam
membangunkan sektor pertanian dan industri berasaskan tani demi memastikan
pembangunan bidang terbabit seiring arus transformasinya. Justeru, pembangunan
infrastruktur pertanian juga diberi keutamaan bagi memastikan pengusaha dapat
memaksimumkan hasil yang diperoleh dan bergerak ke arah menjadi usahawan tani
yang berjaya dan profesional.
Banyak program dan aktiviti
dianjurkan bertujuan melahirkan usahawan tani supaya mereka menerajui
perancangan untuk mengkomersialkan pengeluaran makanan di dalam sektor
pertanian bagi menambah produktiviti dan daya saing dalam dunia perniagaan yang
kian kompetitif dan global. Kerajaan mahu supaya golongan petani membuat
anjakan paradigma dan menanam dalam minda masing-masing bahawa sektor pertanian
harus diuruskan sebagai satu entiti perniagaan.
Kepentingan
bidang pertanian
Pertanian dilihat
sebagai perniagaan yang memberi prospek besar kepada seluruh masyarakat
Malaysia. Bidang pertanian bukan sahaja dapat membantu merapatkan jurang sosial
malah turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Negara. Sebelum negara
mencapai kemerdekaan sehingga tahun 1980-an, sektor pertanian telah memainkan
peranan yang penting dalam menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang
berpanjangan, pembasmian kemiskinan, dan keselamatan makanan negara. Di sebalik
sumbangan sektor pertanian yang semakin berkurangan, ia masih merupakan
satu-satunya sektor yang sumbangannya agak signifikan dan memberi kestabilan
ketika negara berhadapan kegawatan ekonomi sekitar tahun 1986-1987 dan 1997-1998.
Pembangunan sektor
pertanian adalah berpandukan kepada Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) dan
Dasar Komoditi Negara (2011-2020) yang bermatlamat meningkatkan pengeluaran
makanan dan eksport komoditi industri. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10,
sektor pertanian dianggarkan mencatat kadar pertumbuhan tahunan purata sebanyak
2.4 peratus. Dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), sektor pertanian
yang terdiri daripada subsektor agromakanan dan komoditi industri akan
ditransformasi dan dimodenkan supaya menjadi sektor berpendapatan tinggi dan
mampan. Sektor pertanian dijangka berkembang pada kadar 3.5 peratus setahun dan
menyumbang sebanyak 7.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada
tahun 2020.
Sektor pertanian
merupakan salah satu sektor yang diletakkan di bawah 12 Bidang Keberhasilan
Utama Ekonomi (National Key Economic Area – NKEA) sebagai pemacu kegiatan
ekonomi yang berpotensi memberi sumbangan secara langsung yang penting kepada
pertumbuhan ekonomi Malaysia. NKEA Pertanian disasarkan untuk meningkatkan
jumlah sumbangan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM34 bilion untuk
mencapai RM49 bilion menjelang tahun 2020.
Selain itu, NKEA ini
akan mewujudkan 75,000 pekerjaan tambahan, terutamanya di kawasan luar bandar
dan menetapkan sasaran untuk menaikkan pendapatan petani yang mengambil
bahagian dalam inisiatif ini sebanyak dua hingga empat kali ganda. Bekalan
bahan mentah adalah penting untuk memproses makanan bagi tujuan memenuhi
keperluan rakyat Malaysia. Hasil pertanian tersebut selain digunakan di dalam
negara ia juga dieksport ke luar negara. Kos untuk mengimport hasil pertanian
dari luar negara juga dapat dikurangkan dan sekali gus menjimatkan perbelanjaan
kerajaan. Hasil penjimatan itu dapat disalurkan kepada bidang pertanian untuk
ditingkatkan lagi hasil pengeluarannya. Sebagai contoh, beras merupakan makanan
ruji penduduk Malaysia. Kita dapat menikmati harga beras yang rendah hasil
sumbangan bidang pertanian tanpa perlu mengimport beras dari negara lain.
Bidang pertanian
juga dapat mengembangkan industri desa melalui penubuhan Industri Kecil
Sederhana (IKS). Melalui penubuhan IKS ini, masyarakat atau penduduk di kawasan
kampung dapat menjana pendapatan mereka. Produk atau barangan berasaskan
pertanian yang dihasilkan oleh mereka dijual sama ada dalam pasaran negara atau
ke luar negara bergantung kepada permintaan. Kerajaan juga telah melancarkan
program ‘Satu Daerah Satu Industri’ yang memberi fokus hanya dalam bidang
pertanian.
Selain itu, bidang
pertanian berperanan mengekalkan keseimbangan ekosistem. Secara asas nya,
cengkaman akar tanaman di dalam tanah dapat membantu mengawal hakisan tanah dan
memelihara tebing sungai serta menguatkan cerun. Proses fotosintesis yang
dijalankan oleh tumbuhan hijau pula membebaskan gas oksigen ke udara untuk
keperluan pernafasan manusia dan haiwan. Seluruh dunia kini sedang giat
menjayakan Kempen Menanam Pokok.
Potensi
bidang pertanian sebagai perniagaan yang menguntungkan
Bidang pertanian mampu menjana
pendapatan yang besar kepada petani dan juga kepada negara. Pemborong akan
membeli hasil tani yang dituai oleh petani-petani kecil untuk dijual ke pasaran
yang lebih besar. Bidang pertanian dilihat berpotensi tinggi untuk dibawa ke
peringkat antarabangsa kerana hasil keluarannya mempunyai kualiti yang tinggi
dan setanding dengan negara-negara pertanian yang lain. Malaysia juga mampu
mengeksport hasil tanaman dalam kuantiti yang banyak kerana tanah di Malaysia
sangat subur, luas dan sesuai untuk bidang pertanian.
‘Pertanian Adalah Perniagaan’. Itu
lah slogan kerajaan melalui Jabatan Pertanian Malaysia dalam usaha menarik
minat usahawan tempatan bergiat di dalam bidang pertanian secara berskala kecil
mahu pun berskala besar. Ini membuktikan betapa kerajaan amat komited terhadap
usaha untuk memajukan dan mentransformasikan sektor pertanian. Skop pertanian
tidak terhad kepada penanaman padi sebagai makanan asasi rakyat Malaysia,
tetapi turut meliputi tanaman getah, kelapa sawit, tembakau, lada hitam, jagung,
nenas, koko, tanaman bunga, sayur-sayuran seperti cili dan lain-lain. Justeru
usahawan mempunyai banyak pilihan untuk mempelbagaikan hasil pertanian untuk
menjana pendapatan yang lebih tinggi.
Sektor pertanian khususnya
sektor-sektor kecil tanaman industri dan perhutanan akan terus memainkan
peranan penting sebagai pembekal utama bahan mentah kepada industri berasaskan
sumber. Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dijangka akan menjadi lebih penting
apabila lebih banyak bahan mentah pertanian diproses dan dijadikan produk akhir
untuk dieksport. Bagi menampung pengeluaran dalam negara dan memenuhi
permintaan yang kian bertambah daripada industri hiliran, perolehan strategik
bahan mentah melalui pelaburan di luar negara akan diusahakan.
Pertanian juga dapat dijadikan perniagaan
apabila konsep agro-pelancongan diterapkan. Agro-pelancongan dibangunkan oleh
Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani sementara Kementerian Pelancongan
membantu dari aspek promosi. Ia adalah satu konsep pelancongan yang berkembang
pesat kerana Malaysia kaya dengan keindahan alam semulajadinya. Pelbagai
aktiviti berkaitan dengan sektor pertanian dan perladangan disediakan kepada
para pelancong. Antara aktiviti yang mendapat sambutan dalam agro pelancongan
ini adalah lawatan ke dusun buah-buah dan ladang ternakan, penyelidikan,
homestay dan sebagainya. Felda Residence Tekam yang terletak di Pusat
Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR), Jerantut, Pahang adalah antara contoh
pusat peranginan agro-pelancongan yang berbaloi untuk dikunjungi. Selain
menjadi pusat pelancongan berasas pertanian, resort juga turut menyediakan
lawatan ke ladang buah-buahan seperti nangka, durian, rambutan, manggis,
langsat, duku dan jambu mawar. Tetamu juga diajar tentang teknik pertanian
moden yang digunakan di kawasan itu.
Cabaran/
halangan bidang perniagaan yang menguntungkan
Pertanian adalah
suatu usaha yang melibatkan tanah dan juga cuaca. Dua sumber ini memainkan
peranan yang besar terhadap hasil tuaian. Tanah adalah keperluan utama untuk
pertanian. Tanah merupakan sesuatu yang penting bagi pengusaha pertanian kerana
dari segi ekonomi tanah merupakan salah satu faktor pengeluaran. Tanah
merupakan faktor pengeluaran yang tidak boleh ditambah kerana ia terhad kepada
keluasan muka bumi yang ada di sesebuah negeri. Pengusaha yang ingin bertani
dalam kawasan bandar akan mengalami masalah mencari tanah. Hal ini kerana tahap
kesuburan tanah di bandar telah terjejas akibat pelbagai aktiviti pembangunan
dan juga pencemaran. Terdapat pengusaha pertanian yang menyewa tanah orang lain
untuk menjalankan aktiviti pertanian di bandar. Namun, disebabkan oleh
urbanisasi, harga tanah di bandar semakin meningkat. Kekurangan tanah kosong
bagi melakukan aktiviti pertanian merupakan halangan yang sangat signifikan
bagi kawasan bandar kerana persaingan guna tanah untuk pembangunan lain.
Lazimnya, aktiviti pertanian akan tertolak ke pinggir bandar. Saiz tanah yang
terhad hanya menghasilkan jumlah pengeluaran berskala kecil sahaja dan
menampung keperluan di pasar-pasar dan kedai-kedai sekitar nya. Hal ini tidak
membantu meningkatkan julat keuntungan kepada pengusaha, sebaliknya pendapatan
yang statik ditambah pula beban kos utiliti yang saban hari semakin tinggi,
hanya mengundang kepada masalah baru iaitu peningkatan harga makanan dan harga
barangan.
Selain tanah, kekurangan benih merupakan
antara halangan yang melanda bidang pertanian. Kebanyakan anak benih kini
diimport dari luar mahupun dalam negara. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan
kos pengeluaran akan meningkat. Halangan yang lain dalam perniagaan berasaskan
pertanian ialah usia petani yang sudah lanjut saban hari.Tenaga buruh dalam
sektor pertanian rata-ratanya melebihi usia 55 tahun mengikut statistik yang
diambil oleh jawatankuasa Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani.
Keadaan ini berpunca daripada penghijrahan golongan belia yang ramai ke
bandar-bandar besar atau di ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan. Masalah
ini juga berpunca daripada kurangnya minat sesetengah pihak terhadap sektor
pertanian.Golongan belia berpendapat, bahawa pekerjaan dalam sektor pertanian
hanya layak dilakukan oleh golongan yang sudah berusia ataupun sudah
pencen.Bagi mereka, pertanian hanyalah satu bidang yang dijalankan untuk
mengisi masa lapang.
Kekurangan modal juga merupakan cabaran dan
halangan dalam membentuk perniagaan yang berasaskan pertanian. Mereka yang
tinggal di kawasan kampung dan pedalaman sukar untuk mencari modal yang besar
untuk membeli peralatan dan teknologi yang lebih baik dan canggih. Jika mereka
masih menggunakan peralatan dan teknologi yang lama, mereka akan jauh
ketinggalan di belakang. Zaman sekarang merupakan zaman teknologi canggih di
mana kebanyakan kerja dilakukan oleh mesin. Mesin akan melakukan kerja dari
awal hingga selesai proses kerja tersebut. Sebagai contoh, mesin traktor
digunakan untuk membajak sawah. Modal atau kos yang diperlukan untuk membelinya
agak besar dan tidak semua petani mampu membelinya. Duit yang mereka perolehi terpaksa
digunakan untuk tujuan yang lebih penting.
Serangan pelbagai penyakit kepada tumbuhan
atau ternakan menjadikan perkara ini sebagai cabaran dan halangan kepada
kemajuan perniagaan berasaskan pertanian. Petani yang mengusahakan tanaman dan
ternakan terpaksa mengeluarkan sejumlah wang dan masa yang banyak untuk
mengatasi perkara ini.
Malahan faktor bencana alam seperti banjir, kemarau dan tanah runtuh mempengaruhi jumlah pengeluaran
semasa dan lebih teruk lagi pengusaha terpaksa menanggung kerugian yang besar
akibat kemusnahan tanaman. Tambahan pula jika perubahan iklim dunia secara
mendadak akan turut menjejaskan bekalan makanan dunia dan bidang pertanian
turut terjejas. Contohnya fenomena El
Nino yang telah menjejaskan hasil tanaman pertanian tanamana harumanis dan rock melon di Perlis sekitar Mei 2016.
Ini adalah diakibatkan cuaca yang panas melampau dan menyebabkan tanah
kekurangan air. Kemarau yang panjang ini menjejaskan pengeluaran harumanis
hampir 50% menyebabkan banyak tempahan eksport terpaksa dibatalkan.
Sokongan
dan bantuan kerajaan kepada perniagaan berasaskan pertanian
Pihak kerajaan telah
memberikan pelbagai sokongan dan bantuan kepada peniaga yang berniaga produk
dan barangan yang berasaskan pertanian. Pihak kerajaan menyedari golongan
pengusaha ini amat memerlukan sokongan dan bantuan bagi memudahkan perniagaan
mereka. Bantuan dari segi pinjaman kewangan, kursus dan bengkel serta khidmat
nasihat sering diberikan oleh organisasi awam seperti Lembaga Pemasaran
Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian
Malaysia (MARDI) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Hal ini dapat
membantu mereka meningkatkan lagi mutu kerja dan kualitinya di samping
menambahkan lagi kuantiti pengeluaran. Pelbagai program pertanian yang bernafas
baru dan berinovasi khusus untuk menambahkan produktiviti serta pendapatan
petani di Malaysia telah diperkenalkan.
Di samping itu,
kerajaan menggalakkan usahawan, petani dan pekebun kecil agar dapat
mengoptimumkan amalan agronomi yang baru, pengurusan ladang secara moden,
penggunaan jentera baru dan teknologi terkini serta menggiatkan Amalan
Pertanian Baik (APB) atau juga dikenali sebagai Good Agricultural Practices (GAP). APB merupakan satu pendekatan
dalam sistem pengembangan pertanian Jabatan Pertanian Malaysia bertujuan untuk
memastikan pengeluaran hasil pertanian berkualiti dan selamat dimakan. APB
merangkumi pengurusan ladang yang lebih mesra kepada alam sekitar. APB juga
bertindak memastikan amalan-amalan yang dilaksanakan oleh pengusaha ladang
semasa proses pengeluaran dan pengendalian hasil bagi ladang adalah berkualiti,
produk yang dikeluarkan selamat dimakan dan tidak menimbulkan risiko kepada
alam sekitar dan juga pekerja ladang.
Malah agensi seperti
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut menyediakan pinjaman tanpa
faedah kepada siswazah universiti awam dan swasta yang berminat untuk
menjalankan perniagaan dalam pelbagai bidang khusunya agromakanan dan
pertanian. Komitmen berterusan pihak kerajaan dalam membantu sektor pertanian
juga dapat dilihat melalui pelbagai insentif yang diberikan termasuk subsidi
harga padi dan beras, subsidi baja, insentif pengeluaran padi, insentif
tangkapan ikan, elaun sara hidup nelayan dan sebagainya. Semua insentif ini
diwujudkan bagi membantu para usahawan yang baharu dalam bidang masing-masing
dan meringankan beban mereka di samping membantu warga tani sedia ada.
Promosi juga telah
dilakukan oleh pihak kerajaan bagi membuka mata masyarakat tentang perniagaan
yang berasaskan pertanian. Banyak program telah dijalankan bagi mempromosikan
bidang ini dan beberapa festival telah diadakan. Sejak beberapa tahun ini, Pameran
Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) sangat
dinantikan oleh semua pihak. Tahun ini MAHA diadakan selama 11 hari bermula 01
Disember sehingga 11 Disember 2016 yang bertempat di MAEPS Serdang, Selangor. Fokus
MAHA 2016 kali ini adalah kepada pelancongan tani, perdagangan dan gaya hidup
agro, inovasi teknologi terkini. Ianya menyasarkan peningkatan sebanyak 30
peratus golongan usahawan muda melalui Agro Youth.
“Orang
muda adalah golongan sasaran. Jadi, mereka amat dialu-alukan untuk datang dan
terbabit dalam setiap aktiviti yang dianjurkan sempena MAHA 2016 selaras
matlamat kementerian meningkatkan perintis dalam sektor pertanian”
-Menteri Pertanian
dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (BHONLINE-JUMAAT, 25 MAC
2016)
Insentif dan kemudahan turut disediakan bagi
mendorong orang ramai terutama golongan muda untuk menyertai bidang ini.
Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah wang dalam bidang pertanian untuk
menggalakkan golongan muda menceburinya. Perkara ini merangkumi aplikasi
penggunaan teknologi tinggi dalam pengeluaran buah-buahan dan sayuran,
peningkatan pembekalan benih berkualiti, penstabilan harga melalui jualan terus
dari ladang, mewujudkan pasar ikan rakyat serta penambahbaikan institusi
latihan pertanian.
Kesimpulan
“Pertanian adalah perniagaan’ adalah suatu
slogan yang perlu bertepatan dalam usaha meningkatkan pendapatan seharian.
Pertanian yang diusaha secara komersial mampu menjana eknomi dan menggerakkan
pembangunan negara. Selain daripada itu, bidang ini juga ia mampu mengurangkan
pengimportan barang makanan dari luar negara yang menelan kos perbelanjaan yang
besar. Selain itu, ia juga dapat mengelakkan penduduk yang tinggal di kawasan
kampung atau pedalaman berhijrah ke kawasan bandar demi mencari peluang
pekerjaan yang lebih baik.
Sektor pertanian merupakan sektor yang
mempunyai potensi yang besar dalam membantu mengurangkan kebergantungan kepada
sumber bahan mentah dari negara luar. Kesanggupan kerajaan untuk memberikan
perhatian yang lebih atau khusus kepada sektor pertanian negara adalah satu
langkah bijak. Ini kerana perniagaan berasaskan pertanian mempunyai harapan
untuk menjadikan pengusahanya berjaya. Golongan muda terutamanya perlu
mengambil peluang dan memanfaatkan bantuan dari pihak kerajaan.
Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang
subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh
memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan,
bermakna kita telah mensia-siakan anugerah sumber perniagaan yang ada.
7.0
Rujukan
12. Rafiqah Mat
dan Aziz Abdul Majid. (2015), Kepentingan Pertanian Bandar Dan Cabaran Yang
Dihadapi Oleh Petani Bandar Di Malaysia, International
Journal of Environment, Society and Space
No comments:
Post a Comment